Ogos 26: Selepas menyerbu pejabat Gedung Kartun semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyerbu kilang percetakannya dan merampas plat reka bentuk cetakan majalah humor itu.
Selain merampas 408 naskhah majalah humor politik semalam, kementerian itu juga dikatakan turut mengadakan rampasan serupa di dua buah negeri.
Enam pegawai bahagian penerbitan KDN tiba di K Vin Publisher di Seri Kembangan, Serdang jam 11.30 pagi ini dan berada di situ selama hampir sejam.
Mereka merampas lebihan helaian-helaian majalah edisi sulung “jenaka alternatif” bawah pimpinan kartunis politik terkemuka Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque.
_________________________________________________________________
Majalah sarat sindiran pedas isu politik
Oleh Salhan K Ahmad (Malaysiakini)
Komik satira politik terulung dalam kelasnya sendiri Gedung Kartun, yang dirampas atas alasan diterbitkan tanpa permit, memuatkan segudang karikatur tokoh-tokoh politik negara, khususnya perdana menteri dan isu yang sering melekat bersamanya – Altantuya dan Mongolia.
Selain memaparkan Datuk Seri Najib Razak mengibarkan bendera negara Mongolia sewaktu menyambut ulang tahun hari kemerdekaan 31 Ogos di muka depannya, majalah “jenaka alternatif” ulung itu juga menyindir isterinya Rosmah Mansor.
Isteri perdana menteri digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai “Rosmoh.”
Setebal 68 halaman, ia juga menggelarkan Najib sebagai “Datuk Nazak”, dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Razak Hussein.
Kartunis yang dikenali Haili menggambarkan Datuk Nazak ini sedang beria-ia menunggu panggilan daripada presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tetapi suara di hujung sana rupa-rupanya seorang Altantuya dari Mongolia.
Daripada beberapa karikatur lain, Najib digambarkan memperkudakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedang menyambung konspirasi 1998 – dipercayai berkaitan kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim – dengan konspirasi 2008, dan juga menerima amanat untuk meneruskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Majalah dwibulanan yang dipimpin kartunis politik terkemuka Zunar – atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque – itu turut mengulas beberapa perkembangan semasa yang panas, termasuk kematian Teoh Beng Hock, rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta demonstrasi menentang ISA.