Sambungan….
Yang kita nak tarik rambut dan mengamuk tak tentu pasal kenapa? Kerajaan hanya membuang satu aspek dari DEB yang selama ini menguntungkan sebahagian kecil orang Melayu. Andaikata kerajaan bersedia menerbitkan nama penerima agihan saham tersebut, tentu sekali langkah tersebut amat menarik. Dari situ, dapatlah kita menterjemah profail golongan Melayu yang menerima agihan saham tersebut.
Besar kemungkinan penerima dan pembeli saham itu terdiri daripada golongan atasan bangsa Melayu. Pemimpin parti, pegawai kerajaan, syarikat-syarikat bogus yang diwujudkan semata-mata untuk menerima pink form dan seterusnya. Pembaca semua boleh bertanya sama ada rakyat biasa tahu apa peraturan mengenai peruntukan 30% ekuiti.
Saya percaya rakyat marhean dan bawahan se’Satu Malaysia’ gerenti tidak tahu. Bagaimana sesuatu yang tidak pernah memberi faedah kepada mereka, kini menyusahkan hidup mereka bila ianya dibuang?
Adakah orang kebiasaan mempedulikan pengekalan 30% peruntukan saham? Realitinya, peraturan 30% ekuiti ini hanya menguntungkan segelintir dalam masyarakat Melayu dan mereka pula tidak menghargai status kebumiputeraan mereka. Jika daripada alokasi sebanyak RM50 bilion lebih hanya tinggal RM2 bilion, bererti hampir semua sudah menjual kepentingan untuk mendapat untung sekelip mata.
Sesungguhnya, ini membuktikan bahawa status Bumiputera yang mereka miliki hanya digunakan sebagai alasan mengejar kepentingan peribadi. Kenapa kita mesti menerima ilusi bahawa hanya golongan atasan sahaja berhak merealisasikan kepentingan peribadi manakala golongan bawahan tidak? Kita semua manusia juga dan orang Melayu juga.
Mana mungkin kita mempertahankan perbuatan mengorbankan kepentingan jangka panjang bangsa Melayu dan kita tidak ada alasan untuk menolak, golongan ini tidak akan mengulangi salah guna status Bumiputera jika terus diberi peluang yang sama. Selebihnya, ada isu keadilan di sini. Penerusan agihan saham 30% ini tidak adil kerana ia mengkayakan segelintir orang Melayu dan penerusannya akan menjadikan diskriminasi antara dua darjat di kalangan orang Melayu, sebagai sesuatu yang di‘institutionalised’. Penerusan 30% agihan saham adalah unsur yang paling tidak demokratik dalam DEB.
Mereka bukan seperti saudara dan saya yang terpaksa berusaha untuk mendapat faedah kehidupan. Bukan saya kata, tapi PM — daripada RM50-lebih billion nilai saham yang diagihkan melalui dasar 30% ini, hanya tinggal RM2 billion. Ertinya, Mat Laon yang dapat 30% sudah menjual kepentingan tersebut yang didapati mereka kerana ada satu aspek DEB yang menghalalkannya.
Jadi, jika kerajaan nak buang aspek DEB yang tidak pun menyakitkan diri kita jika dibuang, biarkan mereka membuatnya.
Yang dalam ketakutan, bimbang dan ragu jika peruntukan agihan saham dibuang ialah golongan atasan Melayu. Kita faham bahawa jika syarat 30% tidak di pertahankan, maka golongan elit dan bangsawan dan mereka yang ada connection tidak dapat hidup. Ini kita faham dan mereka akan melawan dan membuat bising.
Respons daripada golongan ini dan sambutan sunyi dari rakyat majoriti, mendedah perbezaan ide DEB di kalangan orang Melayu. Golongan bangsawan mempunyai ide mereka dan golongan bawahan, ide DEB yang lain. Ide golongan atasan ialah DEB merupakan satu skim cepat kaya — saya telah mengibaratkan ianya sebagai suatu skim Ponzi yang raksasa. Setiap tambahan ahli menambahkan pulangan kepada pencetus skim ini. Terjemahan: Setiap peraturan dan syarat yang dikenakan oleh kerajaan menambahkan peluang jadi kaya golongan elit.
Manakala, idea majoriti orang Melayu ialah DEB itu suatu skim membina kemampuan mereka. Mereka melihat DEB sebagai blueprint mengalirkan punca-punca menghasilkan kemakmuran secara lansung ke dalam tangan mereka. Ide DEB orang atasan ialah pembangunan untuk orang Melayu mesti melalui mereka sebagai orang tengah.
Dr M bukannya maksum
Baru-baru ini, bekas PM yang kita sayangi telah memberi pandangannya terhadap isi penghapusan 30% ekuiti dalam syarikat. Saya telah memberi pandangan saya mengenai perkara ini dan ianya tidak sependapat dengan pandangan Dr Mahathir. Saya rasa perbezaan pendapat dengan penghujahan tidaklah boleh di terjemahkan sebagai cubaan untuk menjembalangkan (demonise) Dr Mahathir.
Umno hari ini tidak memerlukan mereka yang baharu sehari dua jadi ahli yang cuba mempertahankan Dr Mahathir secara taksub. Sifat paranoid kalangan mereka ini menganggap pendirian tidak setuju dengan Dr Mahathir sebagai suatu dosa besar.
Saya cukup bengang dengan Mat Laon yang hipokrit yang menghentam saya kerana menyentuh TDM. Dr Mahathir bukannya maksum dan tidak bersetuju dengan sebahagian pendapatnya bukanlah bererti membenci Dr Mahathir.
Yang saya peliknya, bila Dr Mahathir dihentam dengan lebih teruk oleh orang lain, seperti Nazri Aziz, semua mereka yang mengaku pemuja Dr Mahathir membisu seribu bahasa. Satu Malaysia tahu Nazri Aziz menghentam Dr Mahathir dalam bentuk serangan peribadi serta dengan keceluparan mulut yang ekstrim. Ini berlainan dengan cara kita berbeza pendapat dengan Dr Mahathir. Saya harap geng-geng muahaha dan wakakaka dapat memahami perbezaan fundamental ini.
Kepada saya, pandangan Dr Mahathir supaya 30% ekuiti dikekalkan tidak dapat dipertahankan apabila kita melihat kepada fakta. Faktanya ialah hampir semua alokasi 30% dijual. Ternyata strategi mengalokasi [mengagihkan] 30% ekuiti dalam sector korporat gagal mengukuhkan ekonomi bangsa Melayu. strategi alokasi ekuiti atau agihan secara monetary tidak berjaya mengembangkan ekonomi orang Melayu. Kegagalan cara ini membuktikan bahawa cara yang lebih baik ialah dengan melancarkan strategi memperluaskan penglibatan ekonomi orang Melayu dalam ‘the real economy’.
Adalah menakjubkan untuk sesetengah orang yang biasanya melihat pasaran saham sebagai suatu kasino besar, menjadikan penglibatan orang Melayu dalam kasino besar ini sebagai elemen terpenting dalam DEB. This is clearly a wrong strategy. Ianya kearah penglibatan dan sumbangan dalam real economy yang patut kita lihat.
Untuk meningkatkan penglibatan orang Melayu dalam the real economy, memerlukan dasar yang membina kapasiti, dasar yang menjadikan mereka mahir dan produktif. Apabila kapasiti terbina, ia memerlukan pula dasar yang meletakkan punca menghasilkan kekayaan secara lansung ke dalam tangan orang Melayu yang berusaha.
Ide kita terhadap DEB berbeza dengan ide DEB golongan elit. Ide mereka, ialah dengan mengeksploitasi status Bumiputera, mereka mahu mendapat kaya dan untung sekelip mata. Immediate gratification [memenuhi citarasa dengan serta-merta] adalah matlamat golongan ini. Kita, majoriti orang melayu berpegang kepada ide DEB sebagai strategi membina keupayaan (atau capacity building).
Ide DEB sebahagian besar bangsa Melayu ialah seperti yang disebut oleh Amartya Sen — kemajuan ekonomi melalui DEB adalah proses kemerdekaan. Kita mahukan kemerdekaan ekonomi untuk mendapatkan kebebasan social dan politik. Mereka yang bergantung kepada wujud dan penerusan syarat 30% hanya mahukan penyambungan ketergantungan.
DEB diwujudkan sebagai penyelesaian kepada masalah ekonomi orang Melayu. Mereka merupakan golongan yang ketinggalan dalam pelbagai aspek sosio-ekonomi. DEB dilancarkan dari tahun 1970 dan berakhir pada tahun 1990. Semenjak tahun 1990, DEB diganti dengan beberapa dasar ekonomi yang lain yang meneruskan dasar affirmative ekonomi.
DEB dan degenerasinya kepada isi perkauman
Pada asasnya DEB melibatkan aplikasi dan implementasi langkah-langkah pentadbiran/administrative measures untuk membetulkan keadaan ekonomi yang tidak seimbang.
Umum berpendapat bahawa suatu sebab terbesar meletusnya peristiwa perkelahian kaum 1969 adalah perasaan tidak puas hati yang membuak di kalangan rakyat miskin. Orang Melayu mendapati diri mereka ketinggalan dalam bidang ekonomi dalam negara sendiri.
Jika keadaan tersebut tidak dibetulkan, maka negara akan jadi huru-hara. Pembetulan keadaan ini di terima oleh semua kaum. Orang bukan-Melayu menerima hakikat, jika ekonomi Melayu tidak diperbetulkan, ianya suatu resipi sempurna untuk kehancuran.
DEB dilihat sebagai suatu dasar nasional untuk merapatkan jurang beza antara yang kaya dan miskin, yang apabila dilakukan akan membawa kepada perpaduan negara. Harapan seperti ini cukup munasabah. Tidak ada sesuatu yang mencerna dan menghasilkan ransangan ganas melebihi perbezaan ekonomi. Sudah tentu ianya menimbulkan rasa tidak puas hati bahkan menimbulkan syak bahawa ada konspirasi antara kerajaan dengan golongan atasan untuk mengkayakan segelintir masyarakat sahaja.
Di negara kita pula, perbezaan ekonomi mempunyai wajah yang lebih sinister kerana ia berlaku mengikut identiti kaum. Golongan minoriti terutama Cina merupakan golongan yang kaya, menakala majoriti orang Melayu miskin. Sudah barang tentu, ianya menimbulkan anggapan bahawa orang Cina telah memboloti kekayaan di Malaysia dengan bantuan dasar kerajaan yang sedia ada.
Penerangan yang populis ialah keadaan tidak adil ini disebabkan oleh bangsa pendatang yang menjadi golongan yang tamak haloba. Merekalah, kata para demagog, yang menyebabkan orang Melayu mundur.
Namun, kita tanya diri kita, bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Kaum pendatang ini tidak memiliki atau menguasai alatan kuasa oppressive – mereka tidak mendominasi kerajaan jadi bagaimana mereka membenam penduduk pribumi? Tentu sekali kemahiran berdagang, penggunaan bahan yang ada di antara dua telinga mereka, daya saing tidak boleh disamakan dengan alatan dan perbuatan oppressive? Kita hanya boleh membenamkan rakyat jika ada kuasa ke atas ‘the oppressive instruments of power’.
Maka pandangan kita tertumpu kepada persoalan siapakah yang menguasai opppressive instruments of power. Jawapannya ialah pihak kerajaan. Dengan segala peraturan dan undang-undang, dan ancaman fizikal yang boleh digunakan. Maka, jika kita tanya, siapakah tuan keatas negara ini, jawapannya ialah golongan elit yang menguasai ‘the oppressive instruments of power’.
Ketidakadilan ekonomi, pada asasnya ialah suatu isu ekonomik. Ia menjadi rumit apabila pertimbangan dan kepentingan politik bercampur-aduk dengannya. Tujuan berpolitik ialah mendapat kuasa dan yang ada kuasa boleh mempengaruhi dan ‘configure the economic outcomes‘ [menentukan bentuk hasil ekonomi].
Bagi kroni, bukan Mat Kampung
Jika sekarang, kita bertanya mengapa ketidakadilan ekonomi masih berterusan dan perasaan tidak puas hati masih wujud setelah hampir 40 tahun perlaksanaan dasar affirmative, kita boleh beri jawapan seperti berikut. Kepincangan ekonomi terus wujud dan malah bertambah kerana fenomena ekonomik yang memerlukan penyelesaian bersifat ekonomik ditonggeng terbalikkan menjadi isu politik. Ya, semuanya kerana politik.
Perlumbaan kemakmuran ekonomi menjadi perlumbaan mendapat kuasa. Sesiapa yang menjadi berkuasa dari segi ekonomi di lihat sebagai ancamam kepada kuasa politik dan oleh yang demikian, yang berkuasa dari segi ekonomi, mesti dilemahkan.
Golongan Cina yang dilihat sebagai powerful dari segi ekonomi dilihat sebagai ancaman kepada pemegang kuasa yang konvensional. Mereka mesti diimbangi supaya tidak menjejaskan imbangan kuasa. Politik sekolah lama yang biasa dengan penerimaan keterangan tanpa soal, menghentam kaum Cina dan mencadangkan pengekalan 30% saham sebagai elemen pengimbang. Sebab itu, 30% ini mesti di pertahankan.
Namun demikian, 30% ini jangan pula disalurkan kepada golongan marhaen, golongan murba dan lumpen proletariat [orang kebanyakan]. Jika ini terjadi, tentulah ini tanda kiamat kepada peradaban yang golongan ‘kita’ kenali selama ini. Tentu sekali kita tidak mahu melihat Mat-mat Kampung memukimi dan mencemar lifestyle kita di atas persekitaran nyaman Bukit Tunku, Damansara Heights atau Country Heights bukan?
Makanya, 30% mesti hanya berlegar di kalangan rangkaian kroni lama, golongan elit dan beras terpilih. Jika tidak, menuntut dan mendesak pengekalan 30% ini hanya untuk lihat ianya jatuh ke tangan Mat Kampung, tindakan tersebut juga akan menjejaskan imbangan kuasa di kalangan bangsa kita. Tiga puluh peratus mesti terus kekal dalam cengkaman dan dakapan golongan lumpen aristocracy [bangsawan].
Kenapa sasaran 30 % ekuiti dalam sector korporat tidak tercapai lagi? Jawapannya — politik. Mengapa penyusunan masyarakat megikut perkongsian ekuiti 30:40:30 tidak tercapai? Jawapannya sekali lagi, politik. Realitinya, kita telah entrust [mengamanahkan] 30% itu kepada kumpulan yang salah.
Siapa yang patut di persalahkan jika DEB gagal?
Pihak yang mesti menanggung perjawaban ialah kerajaan. Mereka ada kuasa, mereka menggubal dan mengenakan syarat, dan mereka telah gagal. Kerajaan meletakkan panduan asas, menyediakan keselamatan dalam negeri dan mempertahankan negara, kerajaan juga mendukong keluhuran undang-undang — siapa yang mempunyai reservoir [dana] kuasa yang tersangat luas, merekalah yang menanggung perjawaban.
Jika sekarang kita tanya siapa yang patut dipersalahkan kerana masalah yang sekarang ini menenggelami kita, jawapannya kerajaan yang dipimpin oleh Umno.
Kamu memegang tampuk kuasa, kamulah jawab mengapa kita boleh lagi mencapai keadilan ekonomi. Kita telah merdeka selama 52 tahun dan dari tempoh tersebut, lebih sepertiga dan hampir separuh tempoh dipimpin oleh Tun Dr Mahathir. Dan jika sekarang Dr Mahathir shifts the blame to others [manyalahkan orang lain], ini sungguh pelik dan ajaib.
Kita telah merasai hampir 40 tahun amalan ‘command centre economics’ [ekonomi yang dirangka oleh kuasa pusat] dan memilih ‘pemenang’ mengikut budi bicara. Kita sekarang menyedari bahawa sebahagian dari aspek DEB yang berpotensi berjaya telah gagal. Memang seperti yang dinyatakan oleh George Santayana — aspek bodoh sejarah akan kita ulangi, jika kita sendiri memilih untuk mengulanginya.
PM Najib sedang cuba menggunakan penyelesaian-penyelesaian ekonomik. Dia bersikap rasional jika enggan kembali kepada aspek-aspek DEB yang tidak demokratik dan yang telah gagal.
_________________
Rencana ini boleh dibaca di blog penulis.
Related:
30% bukan DEB (1)