Projek ‘Saya Anak Bangsa Malaysia’ membuka tirai

 

 

Suatu pergerakan masyarakat majmuk yang dipelopori peguam hak asasi manusia Haris Ibrahim telah dilancarkan kelmarin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. 

Seramai lebih kurang 250 jemputan hadir di Rumah Anak Bangsa Malaysia untuk upacara pelancaran piagam ABM bersempena dengan Hari Malaysia.

Acara petang semalam dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’, dan diikuti ucapan serta persembahan audio-visual oleh Haris. Ianya disusuli sesi soal-jawab dengan penonton.

Para hadirin, termasuk beberapa orang tokoh seni tempatan, seterusnya mengeratkan silatulrahim dengan berbuka puasa bersama. Sebanyak RM6,700 dikutip hasil jualan kemeja-T, lencana serta sumbangan derma.

Laman sesawang SAMB boleh dilayari di http://sayaanakbangsamalaysia.net/

*****************

ANAK BANGSA MALAYSIA

 

MUKADIMAH:

Menyedari tanah air tercinta kita, Malaysia, merupakan:

  • Sebuah negara yang bebas dan berdaulat dalam sebuah komuniti global
  • Sebuah tatanegara yang dibina berasaskan prinsip Raja Berperlembagaan serta system Demokrasi Berparlimen;
  • Sebuah masyarakat berbilang etnik, kepercayaan serta pelbagai budaya yang terbentuk berdasarkan keahlian yang dipersetujui dan diterima bersama;
  • Sebuah negara yang dibina, dipupuk dan dibentuk oleh pelbagai usaha, penat lelah serta sumbangan tidak ternilai yang diberikan oleh setiap lapisan masyarakat, terdahulu dan kini;
  • Sebuah negara di mana rakyatnya terikat oleh sejarah serta warisan yang dikongsi, dan juga matlamat serta hala tuju yang sama;
  • Tanah yang direstui dengan sumber alam semulajadi serta sumber insan yang kaya.

 

Dan menerima sepenuhnya prinsip sejagat yang tidak boleh diubah, yakni kita semua merupakan satu bangsa manusia dan dilahirkan setaraf;

 

DEKLARASI

Kami, Anak Bangsa Malaysia, dengan ini mengisytiharkan bahawa kami pertama-tamanya adalah warganegara Malaysia dan Malaysia merupakan tanah tumpahnya darah kami.

Kami mempunyai aspirasi untuk menjadi suara hati nurani negara kita dan oleh itu berikrar untuk:

1. Memupuk semangat ‘Bersekutu Bertambah Mutu’seperti yang dinyatakan dalam Pengisytiharan Kemerdekaan serta Hari Malaysia;

2. Menghormati serta mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber perundangan tertinggi Persekutuan.

3. Mempertahankan kebebasan asasi serta kesamarataan hak bagi setiap warganegara seperti yang digariskan dalam perlembagaan;

4. Menghormati setiap warganegara tanpa mengira perbezaan etnik, kepercayaan, warna kulit, kelas serta jantina;

5. Menentang segala bentuk prejudis, diskriminasi, penindasan, penganiayaan serta ketidakadilan;

6. Menghargai warisan kita yang dicorak oleh pelbagai budaya serta merayakan kekayaan kepelbagaian kita; dan

7. Menghormati serta melindungi alam semulajadi dan alam binaan kita;

 

KOMITMEN

Kami, Anak Bangsa Malaysia, dengan ini bersedia berusaha bagi:

1. Melahirkan sebuah Pemikiran Bertunjangkan Kebangsaan yang mengutamakan berfikir serta bertindak sebagai, pertama-tamanya warganegara Malaysia;

2. Menarik Minda serta Hati dan Naluri masyarakat kita untuk bangkit melangkaui batasan sosial serta daya pemecahbelahan oleh etnik, kepercayaan, warna kulit, kelas, dan jantina;

3. Menggalakkan Nilai-Nilai kemanusian sejagat, yakni, keterbukaan, kesamarataan dan keadilan untuk semua;

4. Memajukan prinsip-prinsip ‘Tadbir Urus Yang Baik’, iaitu, pengawasan pengamanahan, integriti, akautabiliti serta ketelusan;

5. Mendidik masyarakat kita untuk menjadi Warganegara Global yang bertanggungjawab serta prihatin dan menyumbang ke arah keamanan, kesejahteraan serta pembangunan mampan.

 

Kami komited bagi merealisasikan semangat serta isi dan dasar Anak Bangsa Malaysia –

Satu Bangsa, Satu Negara???.

 

Kami bertekad untuk membawa dan menyampaikan mesej ini kepada masyarakat Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *