1Apco = kos membina 2,200 rumah kos rendah

 

Pada 13 April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa kontrak yang ditandatangani di antara kerajaan Malaysia dan Apco Worldwide adalah bernilai hampir RM77 juta!

Dikhabarkan bahawa kontrak dengan Apco1 dimeterai untuk “perkhidmatan hal ehwal awam kerajaan??? dan “komunikasi strategik, perhubungan awam dan media???.

Apakah ini bermakna tugas ‘perhubungan awam’ kerajaan yang lazimnya dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi telah diambilalih Apco?

Apakah tanggungjawab Wisma Putra dalam menguruskan hal-ehwal luar negara, khususnya dalam konteks ini dengan Amerika Syarikat, telah di‘out-source’ kepada Apco?

Apa jua alasan yang diberikan, kita nampak gayanya wang rakyat telah digunakan untuk memperkasakan imej Perdana Menteri dan kerajaan.

Peraturan perolehan kerajaan

Adakah peraturan perolehan kerajaan dipatuhi oleh Jabatan Perdana Menteri dalam memperolehi perkhidmatan pakar runding Apco?

Mengikut peraturan perolehan yang dikuatkuasa oleh Kementerian Kewangan, beberapa peraturan harus dipatuhi sebelum sesuatu perkhidmatan diperolehi.

Arahan Perbendaharaan [AP] 2 mengenai Perolehan dan Kontrak cukup jelas tentang dua perkara (saya telah gariskan usul yang wajar diberi penekanan):

  1. Kajian pasaran dalam perolehan

    “Adalah menjadi kewajipan setiap pegawai yang menguruskan perolehan membuat kajian pasaran yang berpatutan supaya perolehan itu adalah yang paling sesuai dan menguntungkan. Kajian hendaklah mengambil kira aspek kualiti, harga, kegunaan, kos penyenggaraan dan faktor faktor lain yang berkaitan.??? [AP 169.1]

  2. Penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan kerajaan

    “Bahan,barangan dan perkhidmatan tempatan hendakalah digunakan sepenuhnya oleh Kementerian/Jabatan dalam perolehan masing masing. Perolehan secara impot hanya akan dipertimbangkan setelah dipastikan ianya tidak boleh diperolehi secara tempatan. Kementerian/Jabatan adalah bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan memastikan penggunaan bahan,barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan Kerajaan.??? [AP 169.2(a)]

 

Secara kebetulan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada Februari  24, 2009 telah mengeluarkan surat berjudul ‘Peringatan kepada agensi mengenai keperluan mewajibkan penggunaan bahan/barangan/perkhidmatan tempatan dalam perolehan kerajaan.??? 3

Walhal demikian, kontrak dengan Apco telah dimeterai pada bulan Jun 2009!

Maka soal yang timbul daripada perolehan perkhidmatan Apco ini ialah:

  1. Adakah kajian pasaran yang diwajibkan sudah dibuat oleh pihak yang berkenaan?
  2. Apakah tiada pakarunding tempatan yang mampu membekalkan perkhidmatan yang kononnya menjadi kepakaran unik Apco?

RM77 juta bukan wang saku

Sekiranya perbelanjaan terhadap Apco dibandingkan dengan peruntukan Bajet 2010, kita akan dapat satu gambaran yang lebih jelas mengenai manfaatnya kepada rakyat. Jadual berikut memberi beberapa contoh peruntukan mengikut program atau projek untuk kesejahteraan rakyat.

 

Strategi bajet
Program/projek
 Peruntukan [RM juta] Keterangan
Memajukan sektor pertanian  Empangan Paya Peda  70 Pesawah padi di Terengganu
   Ladang ternakan  58  Penternak lembu & kambing di negara
       
Memperkasa perusahaan kecil & sederhana  Tabung TEKUN untuk kaum India  20  Menggalakan usahawan kaum India
  Skim kilang bimbingan dan pembelian ruang niaga  57  Usahawan kecil semua kaum
       
 Memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan Memantapkan pendidikan pra-sekolah  48  Kemudahan  dan latihan guru pra-sekolah sektor awam dan swasta
  Meningkatkan kadar literasi dan numerasi  32  Semua murid sekolah Tahun Satu [2010]
       
 Meningkatkan pendapatan & taraf hidup rakyat  Pembasmian kemiskinan bandar  48  75,000 isi rumah miskin di bandar
   Pembinaan kedai desa  30  300 unit untuk peniaga kecil di luar bandar
   Klinik 1Malaysia  10  50 buah untuk rakyat berpendapatan rendah di bandar
  Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Majlis Hospis,Persatuan Orang Buta  15  Pesakit miskin membiayai peralatan perubatan
   Elaun untuk Orang Kurang Upaya [OKU]  3.3  Bagi 4,000 murid OKU di sekolah
       
 Memperkasa kawasan luar bandar dan pendalaman  Masyarakat Orang Asli  41  Membina 55 buah perkampungan; Bantuan kepada 800 petani dan nelayan serta 100 usahawan Orang Asli

Disamping itu, Bajet 2010 juga memperkenalkan beberapa program/projek bagi menangani masalah kemiskinan serta usaha bagi mempertingkatkan kualiti hidup rakyat jelata. Walaupun peruntukan setiap usaha ini melebihi RM77 juta, pembiayaan kerajaan dari sudut kos seorang peserta atau kos seunit adalah rendah.

Beberapa contoh dipaparkan seperti berikut:-

  • RM180 juta untuk Pembasmian Kemiskinan dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Berasaskan data rasmi 160,000 isi rumah miskin luar bandar maka setiap keluarga mendapat manfaat bersamaan amaun RM1,125 setahun.
  • RM141 juta untuk Skim Program Lonjakan Mega bagi 5,600 keluarga miskin tegar di Sabah, Sarawak dan Pahang (RM 25,000 sebuah keluarga setahun)
  • RM200 juta untuk Pemulihan Projek Rumah Terbengkalai  yang meliputi 31,824 pembeli rumah (RM6,300 seorang)
  • RM137 juta untuk Menaiktaraf Sistem Pengairan dan Saliran yang manfaatkan 180,000 petani (RM 760 seorang}
  • RM170 juta untuk Elaun Sara Hidup dan Insentif untuk hampir 70,000 nelayan (RM 2400 seorang)
  • RM88 juta untuk 5,356 buah projek Kemudahan Sosial, seperti klinik desa, balai raya dan kawasan riadah awam (RM 16,500 satu projek)

Sekiranya rakyat dapat menikmati RM77 juta yang dibelanja untuk perkhidmatan Apco, manfaatnya yang bakal diperolehi dapat dilihat dari perspektif berikut:-

Bantuan wang kepada isi rumah miskin tegar

RM77 juta adalah bersamaan keadaan di mana hampir 50,000 keluarga miskin tegar mendapat bantuan RM1,540 setahun atau RM128 sebulan atau RM4.20 sen sehari! Memandangkan pendapatan keluarga miskin tegar secara purata adalah RM440 sebulan, sememangnya ‘cash transfer’ (disalurkan wang tunai) sebanyak RM128.00 sebulan akan membantu rakyat miskin menampung keperluan makanan.

Perumahan kos rendah

Berasaskan purata RM35,000 bagi pembinaan sebuah rumah kos rendah, RM77 juta akan memanfaatkan 2,200 keluarga yang kini bertinggal di kawasan setinggan.

Bajet tahunan jabatan

Bajet sebilangan jabatan kerajaan adalah dalam lingkungan RM5 hingga RM10 juta setahun. RM77 juta pasti akan menampung belanja mengurus jabatan sedemikian untuk sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 tahun yang akan datang. Harus diperhatikan bahawa kini beberapa jabatan kerajaan mengalami kekurangan peruntukan bagi menyampaikan perkhidmatan asas kepada rakyat.

Akhir kata, kes Apco ini menunjukkan bahawa masih terdapat banyak kelemahan dalam sistem tadbir urus negara kita, khususnya dalam pengurusan kewangan negara. Nyata pegawai awam yang terlibat tidak mematuhi peraturan dan prosedur sedia ada serta telah mengabaikan prinsip- prinsip tadbir urus baik.

Soalnya – siapa yang akan disurcaj jika terbukti peraturan tidak dipatuhi dalam pembelian perkhidmatan Apco? Menteri berkenaan atau pegawai awam yang terlibat?

Mengikut peruntukan Akta Prosedur Kewangan serta Arahan yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan, sudah pasti hanya pegawai awam yang didapati bertanggungjawab boleh disurcaj.

 

1. Kenyataan Akhbar APCO – http://www.apcoworldwide.com/content/news/press_releases2009/malaysia0809.aspx
2. Arahan Perbendaharaan –  http://www.treasury.gov.my/pdf/lain-lain/arahan_perbendaharaan.pdf
3. Surat Ketua Setiausaha Perbendaharaan – S/K.KEW/PK/PP/1100/000000/ 31 JId. 26/SK. 4(7) bertarikh 24 Februari2009

 

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *