Ghulam-Sarwar Yousof: Kekeliruan tentang kaum India di Malaysia

Apabila ingin membeza antara kaum, kebanyakan penduduk di Malaysia kurang jelas dalam hal ini. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kaum India. Ya, memang wujud kekeliruan yang amat runcing perihal kaum India di sini. Kepincangan ini berpunca daripada satu sebab utama, yakni kejahilan, tetapi faktor-faktor lain yang turut memainkan peranan ialah pendidikan, sistem politik dan cara rakyat Malaysia yang berasal dari India dan Sri Lanka (South Asia) telah diklasifikasikan sejak zaman British.


Ramai masih tidak yakin dalam mengenalpasti apa ‘kaum’ sebenar seseorang India itu, walaupun sekiranya difikirkan, jumlah penduduk negara India sudah melangkaui satu billion insan. Jika diambil kira penduduk dari negara-negara jirannya, Pakistan dan Bangladesh, dan juga penduduk keturunan India di serata dunia ataupun diaspora India, angkanya meningkat melebihi 1.5 bilion insan – iaitu kira-kira satu suku daripada jumlah penduduk seluruh dunia.

Berikutan itu, apakah perbezaannya di antara orang Tamil, Telugu, Kannada ataupun Malayalee? Jika di Malaysia – tiada langsung. Kesemua mereka ini dianggap sebagai Orang India.

Lebih merumitkan, mereka semua digolongkan di bawah gelaran Keling. Saya difahamkan oleh seorang bekas murid saya, yang menceritakan, bilamana dia merujuk kepada kawan Malayaleenya sebagai seorang yang berkaum India, kawan tersebut membantah. “Tidak???, katanya, “Saya bukan orang India, saya seorang Malayalee.???

Gelaran ‘Keling’ boleh membangkitkan rasa kurang senang, malu, malah rasa marah di kalangan kaum Tamil, Malayalee serta kaum-kaum lain yang keturunan India. Sampailah Dewan Bahasa Dan Pustaka mengalami pelbagai kemusykilan dalam usaha mentafsirkan perkataan ini, dan pada masakini penggunaanya memang dijauhi sama sekali. Panggilan ‘Keling’ ini sudah dianggap dekat-dekat kesat atau menghina. Jika seseorang yang mengetahui sejarah dan salasilahnya dikatakan Keling, boleh jadi beliau akan menjawab moyangnya bukan berasal dari negeri Kalinga!

Penduduk Malaysia lebih celaru lagi dengan rujukan kepada kaum Bengali dan Sikh. Persoalan ini telah mendapat liputan luas kebelakangan ini selepas satu insiden yang membabitkan Menteri Besar Perak*. Ia bukti bahawa salah tanggap ini bukan hanya terhad kepada orang kebiasaan sahaja tetapi Menteri Besar pun buat silap. Seorang Sikh yang disebut Bengali mungkin akan kecil hati. Dalam keadaan sebegini, makhluk apakah yang patut digelar Bengali Sikh ataupun Bengali Singh? Dan apakah kepercayaan agama seorang Bengali (di Malaysia ejaannya ‘Bangali’)?

Sebenarnya, isu berkenaan Bengali ini lebih rumit daripada isu kaum Tamil, Telugu, Kannada dan Malayalee selatan India. Pertamanya, bukan hanya kaum Sikh sahaja yang salah digelar Bengali. Berbagai kaum telah digolongkan bersama di dalam kategori ini. Secara amnya, mereka-mereka ini boleh dikenali sebagai Orang India Utara. Jika dalam kes Orang India Selatan perbincangan kita tadi merangkumi hanya empat kaum sahaja, kini kita berdepan dengan lebih 50 kaum yang berbeza. Terlalu banyak untuk disenaraikan di sini.

Memandangkan perkara Bengali dikelirukan dengan Sikh ini lebih kerap timbul, mungkin perlu dijelaskan bahawa kedua-duanya adalah kaum yang berbeza. Orang Sikh berasal dari negeri Punjab, justeru itu mereka patut dikenali sebagai orang Punjabi. Manakala orang Bengali berasal dari negeri Bengal. Mereka juga menganggap diri sebagai Bangla.

Gelaran ‘Bangla’ lazim kedengaran kerana terdapat beribu-ribu pekerja asing dari Bangladesh di kalangan kita. Negeri Bangla, yang diberi nama Inggeris Bengal – “Amar sonar Bangla???, iaitu ‘Bangla tanahair indah emasku’ – telah dibahagi dua (peristiwa ‘Partition’) oleh pihak British dalam tahun 1930an. Wilayah barat mempunyai majoriti Hindu, manakala wilayah timur mempunyai majoriti Muslim. Ekoran kemerdekaan benua kecil India pada tahun 1947, Bengal Barat kini salah sebuah negeri dalam India, dan yang dulunya Bengal Timur sekarang menjadi Bangladesh.

Oleh itu, penduduk yang berasal dari kedua-dua bahagian Bengal itu merupakan kaum Bengali yang sebenar. Kaum Sikh pula adalah kaum Punjabi yang sebenar, dan mereka tidak mempunyai sebarang ikatan kaum dengan orang Bengali.

Kaum Punjabi terdapat di kedua-dua negara India dan Pakistan. Ini adalah kerana, sepertimana negeri Bengal, negeri Punjab juga dipisahkan, dengan wilayah barat bermajoriti Muslim diagih kepada Pakistan, dan wilayah timur yang bermajoriti Hindu dan Sikh tetap tinggal milik India. Jadi, terdapat orang Punjabi yang bukan warganegara India tetapi warganegara Pakistan.

Ini hanya bab pertama ceritanya; ada lagi.

Biar dicampur-adukkan faktor agama pula. Jika diganda empat atau lima jumlah pelbagai kaum-kaum yang sedia ada supaya meliputi mereka yang beragama Hindu, Islam, Kristian serta penganut-penganut agama Jain, Buddha dan Bahai, keadaan menjadi lebih keruh bak air di Sungai Ganges ataupun Brahmaputra.

Sekali lagi, kita hanya akan mengambil tiga contoh ringkas: Umpamanya, Malaysia ada kaum Tamil yang menganut agama Hindu, Islam dan Kristian. Pada masa yang sama, kaum Punjabi (jangan sesekali memanggil mereka Bangali ataupun Pangkali lo!) juga mempunyai penganut agama Hindu, Islam, Sikh dan Kristian. Manakala kaum Gujerati mempunyai penganut Hindu, Islam dan Jain. Keadaan ini (di mana satu kaum mempunyai penganut-penganut dari pelbagai agama) boleh kita nampak di kalangan hampir semua kaum-kaum yang berasal dari India Selatan.

Memang kecoh jika kita menggelar orang Sikh sebagai Bangali. Sesetengah orang, termasuk orang yang berpelajaran dan juga tenaga pengajar di Malaysia, mendapati bahawa hal ini terlalu rumit. Saya memudahkannya dengan seloroh kepada anak murid saya – kalau Bangali Sikh, ada juga Bangali Seven, Bangali Eight, Bangali Nine dan seterusnya.

Huraian setakat ini hanya titik permulaan. Jika nak disebut tentang Mamak atau Kaka pula, maka perlu kita tanya: Mereka sepatutnya digolongkan di bawah kaum apa? Bagaimana pula dengan Kapitan Keling? Aishwarya Rai? Datuk Shah Rukh Khan yang terkenal di Bollywood serta masyhur di Melaka?

Dan bagaimana pula dengan orang Melayu yang ramai juga nenek-moyang mereka berbangsa India?

Nota Pengarang: *Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin pada bulan April lepas telah tersilap rujuk orang Punjabi Sikh sebagai Bengali tatkala beliau menghadiri suatu upacara anjuran PAS di Ipoh.

______________________________________________

Versi asal rencana ini diterbitkan pada 10 Disember, 2008 dalam blog berjudul ‘Lone Traveller’. Blogger Ghulam-Sarwar Yousof adalah seorang pengarang ternama dan pensyarah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *