(terjemahan daripada Bahasa Inggeris)
‘Islam and the Secular State: Negotiating the Future of Shari’a’ (Harvard; 2008) berupa suatu karya yang nyata kuat pengaruhnya. Ianya dikarang Abdullahi Ahmed An-Naim, seorang sarjana ternama. Beliau mengatakan tidak mungkin ada sebarang masyarakat yang kepercayaan agama, iltizam dan keprihatinan seseorang ahlinya dapat dipisahkan daripada perancangan dan keputusan politik.
Beliau berpendapat rakyat jelata tidak mengasingkan antara yang berunsur agama dengan yang tidak tatkala mereka menjalankan hidup sehari-hari. Ini kerana sebagai manusia, pemahaman kita tidaklah diagihkan secara kemas kepada dua kotak: satu kategori berciri agama dan satu lagi kategori berciri secular. Adakalanya pendekatan mencampur-adukkan agama dengan politik membawa kepada ketegangan dan persengketaan, dan adakalanya keganasan.
Justeru itu, An-Naim berpendapat adalah lebih praktik dan munasabah bagi semua orang untuk mengenali peranan yang dimainkan agama. Pemahaman ini boleh kemudiannya ditimba bagi membuat perancangan politik, tetapi tertakluk kepada had batasan tertentu. Namun begitu, ianya mesti dilaksanakan dalam konteks negara secular.
An-Naim mendefinisikan negara sekular sebagai suatu negara yang mengekalkan pemisahan Islam dengan institusi negara atau pemerintahan (Nota pengarang: Kita lebih biasa dengan konsep ‘state’ dalam istilah Melayu, yakni ‘kerajaan’). Di dalam sebuah negara sekular, semua golangan rakyat sama ada Muslim atau pun tidak, mempunyai kebebasan asasi dalam menentukan sejauh mana pengaruh agama di ruang awam. Penetapan landasan bidang kuasa dipersetujui melalui proses perundingan.
An-Naim berpendapat agama memerlukan sekularisme sebagai mekanisme pengantara bagi komuniti pelbagai agama, yakni antara mereka yang beragama dengan mereka yang lebih cenderung kepada fahaman secular. Keadaan sedemikian (adanya mekanisme pengantara) akan mewujudkan ruang politik dan perundangan supaya agama boleh berkembang seiring dan maju. Dalam konteks ini, beliau berpendapat lindungan sekularisme, perlembagaan, hak asasi manusia dan juga kerakyatan adalah mustahak untuk mengekang pihak majoriti (daripada bersikap enggan bertolak ansur) dan untuk mencegah penindasan.
Pandangan An-Naim ini amat relevan kepada kita semua.
Ternyata sekali Islam ada kaitan rapi dengan politik Malaysia, dengan parti majoriti Melayu Umno dan PAS menggunakan agama untuk memperolehi kelebihan politik demi kepentingan masing-masing. Bagi PAS, ianya untuk memaju dan menggembang pendirian mereka yang mengetengahkan agama sebagai teras. Umno pula gunakan Islam untuk menonjolkan ideologi Ketuanan Melayunya.
Perbalahan Umno-PAS menampakkan Islam dijadikan modal politik dan alat strategi dalam kempen mereka. Keadaan ini terus menjejaskan aliran politik lain dan mengetepikan aktivis masyarakat sivil. Di Malaysia, kelihatan seolah-olah hanya PAS dan Umno yang layak memperjuangkan agama dan hak Melayu. Mahupun perbincangan politik secara terbuka amat penting kerana isu-isu semasa pasti menimbulkan kesan ke atas semua orang, namun kerana rakyat Malaysia takut akan tercetusnya rusuhan kaum sekiranya mereka berani menyentuh hal-hal Islam, serta mereka dibendung undang-undang yang menghalang kebebasan bersuara. Lantaran, permuafakatan dalam mencari arah tuju tidak mendapat tempat.
Kesudahannya kedua-dua parti Umno dan PAS ini berjaya menempatkan Malaysia sebagai suatu negara Islam dalam apa jua bentuk. Umno terus memperluaskan sempadan penggunaan undang-undang agama Islam untuk membuktikan keIslaman mereka.
Tiada kurang, dan sungguhpun parti ini anggota Pakatan Rakyat, PAS juga menegaskan syariah mesti ditegakkan sebagai undang-undang teragung, tak kira perlembagaan kita sebenarnya tidak meletakkan Syariah sebaris (ataupun berdiri sama tinggi) dengan perundangan sekular. [*Nota pengarang: Malik Imtiaz berpendirian bahawa mahkamah syariah ialah ‘inferior’ dari segi undang-undang, ‘inferior’ ataupun ‘lebih rendah’ dengan mengambil maksud mahkamah sivil dirujuk sebagai ‘superior courts’. Malik Imtiaz berpendapat mahkamah syariah digolongkan dalam ‘subordinate courts’ – seperti mahkamah majistret dan mahkamah sesyen – yang diwujudkan melalui statut.]
Bagi PAS, tuntutan melaksanakan syariah sejajar dengan faktor membolehkan orang Muslim menjalankan kewajipan agama mereka. Pegangan PAS ini kurang disenangi beberapa pihak lain.
Kontroversi pelaksanaan hudud jelas menggambarkan perbahasan di atas. Berdasarkan perlembagaan yang sedia ada sekarang, tidak mungkin hudud dan qisas dikuatkuasakan sama ada di peringkat negeri mahu pun persekutuan. Ini kerana perlembagaan yang sedia ada telah membahagikan kuasa menggubal undang-undang antara Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Bidang kuasa untuk membentuk undang-undang jenayah diletakkan di Parlimen sementara Dewan Undangan Negeri (DUN) dibataskan kuasanya. DUN hanya memiliki kuasa untuk merangka undang-undang atas jenis perkara yang ditafsir sebagai kesalahan dari sudut pandangan Islam, yang mana kesalahan tersebut tidak ada kait-mengait dengan perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Parlimen untuk menggubal undang-undang jenayah atasnya. Perkara-perkara yang ditafsirkan sebagai kesalahan dari kacamata Islam setakat merangkumi salahlaku orang Muslim sahaja.
Tambahan lagi, mahkamah syariah tertakluk kepada jatuhan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda sebanyak RM5,000 atau enam sebatan rotan, atau kombinasinya. Justeru itu, kerajaan negeri tidak berkuasa untuk membentuk undang-undang hudud atau qisas, yang antara lainnya, menjatuhkan hukuman memotong tangan dan lontaran batu.
Pada tahun 2003, Zaid Ibrahim telah memfailkan kes terhadap kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu (waktu itu negeri Terengganu diterajui PAS) berasaskan usul bahawa menjalankan hukuman hudud dan qisas adalah di luar bidang kuasa kedua-dua negeri tersebut.
Skema perlembagaan ini tidak terkeluar dari kefahaman PAS apakala retoriknya diteliti. Cadangan PAS bahawa hudud dan qisas akan diperkenalkan sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan menunjukkan PAS akur bahawa undang-undang jenayah adalah di atas kuasa Parlimen. Nyata sekali tiada mungkin bagi PAS menggantikan sistem undang-undang jenayah yang sedia ada dengan undang-undang syariah tanpa meminda keseluruh sistem keadilan. Perlembagaan yang sedia ada membolehkan pembentukan dan enakmen undang-undang jenayah dari segi secular ataupun bersifat neutral.
Undang-undang bersabit kesalahan yang melanggar hukum Islam lain tidak boleh dikenakan ke atas individu yang pegangan agama bukan-Islam ataupun yang tidak berpegang kepada agama. Ini adalah konsisten dengan jaminan kesetaraan hak beragama dan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan pelbagai agama.
Memandangkan jaminan yang diberikan oleh perlembagaan kepada yang bukan-Islam, tekad PAS untuk terus mengutarakan hudud menunjukkan bahawa hujah agama (religious card) masih bernilai politik tinggi. Pada masa yang sama, keengganan serta kegagalan Umno menolak kemungkinan akan dilaksanakan hudud menunjukkan bahawa Umno juga berminat menekankan aspek agama dalam percaturan politiknya.
Dengan berbuat demikian, kedua-dua parti – kerana mempunyai kelebihan majoriti dan menggunakan majoriti mereka – berjaya menonjolkan Malaysia sebagai negara Islam kacukan (hybrid-Islamic state). Nekad majoriti ini sekaligus menindas masyarakat Muslim dan bukan Muslim.
Ruang awam bagi bukan-Muslim memang terhad. Kebebasan bersuara pihak minoriti dibendung oleh dasar diskriminasi dengan alasan majoriti mahu mempertahankan Islam. Arahan kerajaan supaya akhbar mingguan gereja Katholik ‘The Herald’ tidak dibenarkan menerbit edisi Melayunya (kerana isi kandungan yang menggunakan gelaran ‘Allah’ mengikut ajaran Kristian) jelas menggambarkan persoalan ini, begitu juga dengan arahan-arahan kerajaan lain yang seumpamanya.
Soalan yang patut ditanya ialah sama ada Islam dan orang Melayu memerlukan ‘perlindungan’ (bersandarkan hujah ‘mempertahankan syariat’), dan sekiranya benar, perlindungan dari ancaman apa atau siapa. Bukankah Islam sudah diberi perlindungan di dalam perlembagaan dan rangka undang-undang, dan banyak lagi peruntukan bagi memudahkan puak Muslim menjalankan tanggungjawab agama mereka?
Sebenarnya orang Muslim mewarisi kebebasan dan kepelbagaian yang dimungkinkan oleh syariah. Akan tetapi, suasana menjadi kabur di belakang tabir monolitik Islam yang telah dilakar oleh pihak berkuasa agama. Melalui undang-undang, fatwa dan kutukan, sekarang hanya tinggal satu jenis Islam yang direstui, iaitu jenis yang didefinisikan dan dihalalkan oleh kerajaan. Misalannya, kerajaan negeri Selangor baru-baru ini mengambil tindakan terhadap pergerakan yang dianggap sebagai menyeleweng – kumpulan Ahmadiyah dituduh sesat agama. Peranan kerajaan mengurus hal-ehwal ‘monolitik Islam’ dengan sebegitu ketat turut menyekat kebebasan orang Muslim yang hendak berfikir sendiri.
Pengharaman sesetengah tajuk buku dan kemusykilan yang timbul mengenai amalan yoga juga petunjuk kepada status pentadbiran Islam di Malaysia. Impak campurtangan kerajaan dilihat mengongkong kehidupan orang Muslim. Seperti pandangan An-Naim yang menyebutkan: “Sebagai seorang Muslim saya perlukan negara sekular untuk hidup dengan cara syariah melalui kepercayaan tulen dan pemilihan bebas tersendiri, secara peribadi dan bermasyarakat dengan Muslim yang lain, iaitu cara yang sahih dan berdasarkan undang-undang sebagai seorang Muslim???.
Aliran ‘negara Islam’ ala Malaysia amat merunsingkan, lebih-lebih lagi dengan adanya mereka yang mengekploitasi sistem yang sering lemah dan sistem yang tidak lagi mempertahankan kepentingan masyarakat. Kita mesti mencari ruang bagi membolehkan setiap individu menampilkan jati diri (allow each of us to be who we are) atau dengan kata lain, ‘siapa kita sebenarnya’ seperti yang dicadangkan oleh sarjana An-Naim.
Atas tujuan ini, saya percaya kita perlu merujuk semula kepada perlembagaan Malaysia. Ciri-ciri dan elemen penting kepada model An-Naim sudah dirangkupkan di dalam perlembagaan persekutuan: Perlembagaan menghadkan pentadbiran Islam kepada hal undang-undang peribadi sahaja dan dengan cara ini memastikan neutraliti sistem undang-undang awam. Namun begitu, ia masih membolehkan Islam berkembang dengan sistem pentadbiran undang-undang peribadi (matters of personal law).
Perlembagaan juga menjamin kebebasan bersuara, bergaul dan berhimpun. Jaminan-jaminan ini mendorong badan-badan seperti PAS dan ABIM supaya giat menyebar mesej masing-masing, dan pada masa yang sama pandangan mereka ada pula diseimbangkan dengan pandangan lain yang bercanggah ataupun bertentangan. Kesemua factor tersebut di atas menjamin kebebasan kita memilih.
Sekiranya sistem yang dihuraikan oleh An-Naim diberi peluang untuk mencapai keseimbangan (equilibrium) sepertimana yang pernah wujud pada suatu masa dulu, maka besar kemungkinan Islam akan berkembang dengan lebih pesat lagi serta memupuk masyarakat yang benar-benar berlaku adil kepada semua orang – suatu masyarakat penyayang dan saksama. Walaupun kita asyik dengan label ‘Negara Islam’, tetapi pada hakikatnya, tidak perlu label ‘Negara Islam’ untuk kita pulihara masyarakat yang adil, penyayang dan saksama.
****************
Versi asal rencana ini ‘The Freedom to be’ diterbitkan pada 5 Jan, 2009 dalam blog berjudul ‘Disquiet’. Blogger Malik Imtiaz Sarwar adalah seorang peguam, kolumnis dan presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam).